Susulan daripada tularnya video Saudara Yusof Azmi (PPIM) yang mendakwa urusniaga jual beli emas adalah menipu kerana ada susutnilai, saya menerima banyak pertanyaan daripada kenalan di FB dan Whatsapp.

In Sha Allah, saya akan cuba untuk menjawab persoalan ini dengan cara yang sebaik mungkin.

Memandangkan persoalan susutnilai ini perlu diteliti daripada pelbagai sudut, maka penerangan akan menjadi sedikit panjang.

Situasi 1.

Pada hari yang sama, waktu yang sama, Encik A telah membeli gold bar 10 gram dengan harga RM1,867 daripada kedai emas X.

Selesai urusniaga, Encik A telah membuat keputusan untuk menjual kembali gold bar 10 gram tadi kepada kedai emas X pada harga RM1,699.

Perbezaan harga adalah sebanyak RM168 atau 9%.

Situasi 2.

Pada hari yang sama, waktu yang sama, Encik B membeli sebuah kereta berjenama Y berharga RM50,000 di sebuah kedai kereta.

Setelah selesai urusniaga, Encik B membuat keputusan untuk menjual kereta tersebut dan menukarnya dengan sebuah kereta lain yang lebih canggih. Harga yang sanggup diambil oleh kedai kereta tersebut ialah RM45,000.

Perbezaan harga adalah sebanyak RM5,000 atau 10%.

Adakah 2 situasi di atas adalah sama? Jika sama, di manakah persamaanya?

Jika tidak sama, apakah faktor yang menjadikannya tidak sama?

Apabila semua ini terjawab, maka ia boleh merungkai persoalan susutnilai dengan lebih mudah lagi.

Kenapa bila kita beli sebuah kereta berjenama X, dan apabila tiba masanya untuk menjual kembali, harganya akan berkurangan?

Situasi ini disebabkan oleh faktor masa dan kondisi kereta tersebut. Walaupun ia sama, seolah-olah kondisinya seperti ketika ia dibeli. Pada hakikat ia adalah kereta yang terpakai.

Faktor masa dan usia kereta akan turut mempengaruhi nilai kereta tersebut.

Harga kereta setelah ia digunakan hanya akan menuju kepada penurunan dan ia bergerak secara sehala.

Hampir mustahil sebuah kereta terpakai boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi dari harga sebuah kereta baharu.

Ini kita namakan susutnilai.

Pernahkah anda menukar wang RM kepada matawang asing di money changer?

Jika anda ingin menukar wang RM kepada 1 USD, anda akan membayar, sebagai contoh  RM4.

Jika pada waktu yang sama anda ingin menukar kembali USD1 tadi kepada wang RM, tidak mungkin anda akan mendapat kembali wang RM4 anda tadi.

Anda mungkin hanya mendapat RM3.50 sahaja.

Adakah “susutnilai” ini satu penipuan?

Ini kita panggil margin keuntungan yang telah ditetapkan oleh peniaga jika ada pembeli yang mahu berurusniaga.

Jika anda faham bagaimana kadar tukaran wang asing berfungsi, maka anda akan lebih memahami bagaimana harga emas bekerja.

Ia adalah satu kerangka yang sudah disepakati dan diterima oleh majoriti peniaga dan pembeli emas. Memang begitulah ia dijalankan bagi memberi kelebihan kepada penjual emas dari sudut keuntungan.

(Tapi, risiko kerugian juga boleh berlaku kepada peniaga emas dalam keadaan-keadaan tertentu).

Kalau berniaga tak untung, buat apa nak berniaga kan?

Cuma, yang perlu kita ketahui seterusnya, walaupun di sana ada margin keuntungan, harga belian dan harga jualan tidak kekal statik pada satu tempat.

Ia mungkin naik meroket, mungkin statik tidak bergerak dan mungkin turun menjunam, bergantung kepada faktor-faktor tertentu yang akan seterusnya menghasilkan harga semasa emas dunia.

Setelah kita tahu bahawa perbezaan harga apabila kita membeli dan menjual itu adalah margin keuntungan bagi penjual emas, kita juga perlu tahu bahawa harga emas sentiasa bergerak pada setiap masa.

Ia boleh jadi naik, tetap dan turun.

Besar atau kecil perbezaan harga ini adalah perlambangan sekejap atau lama masa menunggu anda untuk mula menjual emas yang dibeli.

Sebagai contoh, untuk gold bar 10 gram, anda memerlukan kenaikan harga 9% untuk anda mendapat balik harga yang sama ketika anda membelinya dahulu.

Perlu diingat, apabila harga belian meningkat, harga jualan juga akan turut meningkat. Sedikit demi sedikit perbezaan 9% tadi akan berkurangan.

Inilah yang kita istilahkan sebagai “spread”.

Jangan lupa untuk cari kedai emas yang sentiasa kemaskini harga emasnya mengikut harga pasaran semasa dunia sekerap mungkin supaya anda dapat menikmati kenaikan dan penurunan harga ~

Saya tidak pasti sama ada istilah susutnilai masih boleh diguna pakai dan membawa makna yang betul atau tidak apabila kenaikan harga sudah melebihi 9%.

Sebagai contoh, apabila harga naik sebanyak 10%, para penyimpan emas sudah boleh mengaut keuntungan sebanyak 1% apabila mula menjual emasnya kembali kepada kedai emas tempat dia membeli emas itu.

Sekarang, mana perginya nilai emas yang dikatakan susutnilai tadi?

Semakin besar item emas, semakin kecil pula spreadnya.

Sebagai contoh, gold bar 1 kilogram memiliki spread hanya 6% (Rujuk gambar). Kenaikan harga emas sebanyak 7% saja sudah cukup untuk si penyimpan emas mendapat keuntungan!

Ini bermakna, ia semakin bagus dari sudut tempoh menunggu dan kebarangkalian untuk mendapat keuntungan apabila harga emas naik.

susutnilai

Secara jangka panjang, harga emas sentiasa dalam keadaan menaik.

Sebagai contoh, pada tahun 2000, harga emas di Malaysia ialah sekitar RM30 ke RM40 segram.

Harga tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2017 ialah RM198 segram.

Tidak betul jika kita katakan jual beli emas adalah penipuan dan merugikan kerana ada susutnilai.

Mungkin bagi yang pernah membeli pada tahun 2000 dan hendak menjual emasnya pada tahun yang sama, dia akan mengalami kerugian kerana perbezaan spread.

Tapi, jika emas dibeli pada tahun 2000 dan dijual pada tahun 2017, adakah ia akan mengalami kerugian?

Pengiraan matematik yang mudah boleh membuktikan keuntungan tersebut. Walau setelah ditolak 9% nilai spread sekali pun, ia tetap akan untung.

Sebab itulah kita katakan emas ini jika mahu djadikan alat pelaburan, ia mestilah dalam jumlah yang signifikan dan tempoh yang tidak singkat.

Jika tidak, kita akan rasa tertipu.

Beli segram pagi ini, petang nanti nak terus jual. Memang la rugi!

Lain tempat membeli emas, lain kadar spread (atau susutnilai seperti yang anda suka panggil) yang ditetapkan.

Lain item emasnya (barang kemas, gold bar atau dinar), lain juga kadar spreadnya

Semuanya terpulang kepada anda untuk memilih kedai manakah yang terbaik, yang menawarkan kadar spread yang paling nipis.

Anda suka, anda beli. Anda tak suka, anda cari kedai lain.

Sebagai contoh, Public Gold menawarkan kadar spread sekitar 6% hingga 9% sahaja, bergantung kepada item emas.

Semakin besar itemnya, semakin nipis kadar spreadnya. Harga per gram juga semakin murah.

Sebab itu apabila anda membeli emas di mana-mana, jangan hanya bertanya tentang harganya. Tetapi tanya juga sama ada kedai tersebut membeli balik emas tersebut atau tidak dan berapakah kadar spreadnya.

Tempat paling mudah untuk kita menjual balik emas yang kita miliki ialah tempat di mana kita membelinya suatu ketika dahulu.

Tetapi tidak ada sesiapa pun yang boleh melarang kita dari menjualnya kepada sesiapa pun yang kita sukai.

Jika kita gunakan jadual harga ini sebagai rujukan, kita hanya boleh mendapat RM1,699 jika kita menjual emas tersebut kepada penjual asal.

Tetapi, kita juga boleh mengambil inisiatif (iklankan, promosikan, cari pembeli di pasaran terbuka dll) sendiri dan sedikit usaha untuk menjual pada harga RM1,867.

Ia boleh dilakukan pada hari yang sama dan waktu yang sama sekaligus. Spreadnya adalah 0%!

Jika bernasib baik, kita boleh dapat untung 9% on the spot apabila situasi ini berlaku :

  1. Ada orang yang kesuntukan duit mahu menjualkan gold bar 10 gramnya kepada kita untuk tunai segera. Maka kita akan beli pada harga RM1,699.
  2. Serentak dengan itu, kita iklankan gold bar tersebut pada harga semasa RM1,867. Apabila ada yang membeli, maka sah-sah untung di tangan kita sebanyak 9%.

Dengan ilmu, untung boleh dijana tanpa perlu menunggu harga emas naik dan kadar susutnilai yang pelbagai.

Yang penting, pemahaman mesti betul.

Jangan beli emas hanya kerana mengharapkan harganya naik. Ini adalah berbentuk spekulasi yang jika tidak kena dengan caranya – sesetengah ulamak – menghukumkannya sebagai haram.

Jika kita beli emas semata-mata kerana pelaburan (buy low sell high), maka kita akan kecewa jika harga tidak naik.

Kita akan makin kecewa apabila terpaksa juga menjual emas tersebut kerana keperluan pada harga yang tidak menguntungkan (termasuk setelah mengambil kira penolakan kadar spread).

Emas mempunyai banyak fungsi. Selain sebagai pelaburan, ia juga boleh bertindak sebagai simpanan, aset, pelindung nilai, insuran, modal pusingan perniagaan dan sebagainya.

Harga emas turun dan naik. Tetapi pada setiap penurunan, biasanya akan ada kenaikan yang signifikan. Jadi jangan dirisaukan sangat tentang turun naik harga tersebut kerana harta kita adalah dalam bentuk emas dan tetap kekal bersama kita.

Duit juga ada turun dan naik. Tetapi bila sudah turun, memang susah untuk naik dan pulih kembali seperti sediakala. Dan kita mesti menelan hakikat pahit ini kerana ia sudah tidak boleh dielakkan.

Sebenarnya – kata Robert Kiyosaki – bukanlah emas atau perak yang menjadikan kita kaya tetapi ILMU tentang emas dan perak itulah yang menjadikan kita kaya.

Justeru itu, jangan berhenti dari mencari ilmu tentang emas dan hubungkaitnya dengan sejarah matawang kertas.

In Sha Allah anda akan tersenyum panjang, dalam jangka waktu yang panjang apabila anda telah dan sedang menyimpan emas sebagai salah satu alat bantu kewangan anda.

Kredit: Ustaz: Khairul Anuar Basri

😃+